Mangsa serangan buaya terima bantuan

SARIKEI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri hari ini menziarahi mangsa serangan buaya, Razeli Emun, yang sedang menerima rawatan di Hospital Sarikei.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.

Razeli mengalami kecederaan serius selepas disambar seekor buaya ketika menangkap ikan di Sungai Krian berhampiran Rumah Panjang Galing, Lubok Nibong, baru-baru ini.

Menurut Mohamad Duri, mangsa berjaya menyelamatkan diri dalam detik cemas itu apabila bertindak berani mencucuk mata buaya sehingga haiwan berkenaan melepaskan gigitannya.

Beliau berkata, selepas kejadian, mangsa dikejarkan ke Hospital Saratok sebelum dirujuk ke Hospital Sarikei bagi mendapatkan rawatan lanjut berikutan kecederaan yang dialaminya.

Katanya, beliau bersama rombongan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Zon Saratok menziarahi mangsa bagi memberikan sokongan moral selain menghulurkan sumbangan kepada keluarga.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya.