KUCHING: Melatih umat Islam menjadi ilmuan merupakan sebahagian daripada konsep zakat dan wakaf dalam menghadapi kemajuan dunia pada masa hadapan, kata Premier Sarawak.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam konteks ini, Sarawak membelanjakan sebahagian daripada zakat dan wakaf untuk melatih belia Islam dalam membangunkan sumber untuk kebaikan sejagat.
Sungguhpun konsep zakat dan wakaf itu khusus untuk membiayai kebajikan masyarakat Islam, namun sebahagian daripadanya hendaklah digunakan untuk melahir ilmuan Islam, katanya merasmikan Persidangan Antarabangsan dan Mesyuarat Ke-14 Forum Zakat dan Wakaf Sedunia di sini hari ini.
Persidangan dan mesyuarat tiga hari itu dihadiri oleh lebih 500 perwakilan daripada 29 negara dari seluruh dunia.
Premier Sarawak berkata, perkembangan Kecerdasan Buatan (AI), memabngunkan cip semikonduktor, hidrogen, tenaga solar dan tenaga dibaharui, semuanya memerlukan cendiakawan untuk mengembangkannya.
Kekayaan sumber yang dimiliki oleh negeri ini, katanya, tidak akan memberi makna kepada rakyat jika ia tidak dibangunkan menggunakan teknologi terkini.
“Ini semuanya memerlukan kepakaran. Justeru, kita harus melatih seberapa ramai belia Islam untuk menjadi cendiakawan dalam bidang terbabit.
“Jika sumber yang ada digabungkan, saya yakin Sarawak menghadapi masa hadapan lebih cerah,” katanya dan menambah, sistem zakat dan wakaf yang diamalkan oleh Sarawak sekarang diterima oleh semua kaum tanpa mengira agama dan latar belakang.
Beliau berharap forum yang dihadiri oleh ilmuan Islam dari pelbagai negara itu akan dapat membincangkan isu-isu penting untuk membolehkan umat Islam sejagat terus maju ke hadapan.
Hadir sama Setiausaha Agung Forum Zakat dan Wakaf Sedunia, Mohd. Razali Md Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Nain Mokhtar dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.