Sarawak bangunkan bandar hijau

KUCHING: Merancang pembangunan bandar pada masa depan perlu mengira kepentingan antara pelepasan karbon dan penghasilan oksigen supaya penduduknya hidup sejahtera.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya dengan penanaman pokok sepanjang jalan boleh menghasilkan banyak oksigen.

“Sebagai sebuah negeri tropika adalah mudah bagi Sarawak untuk merancang pembangunan bandarnya,” katanya merasmikan Persidangan Antarabangsa Ke-11 mengenai Rendah Karbon Asia di sini hari ini.

Ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Sarawak membantu menangani perubahan iklim, tegas beliau dan menambah, menghijaukan bandar turut membantu mengawal suhu panas yang menjadi isu kebanyakan negara di dunia sekarang.

“Dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030, kita mempunyai tiga tonggak utama untuk dibangunkan dalam membantu menangani perubahan iklim iaitu membangun tenaga diperbaharui, kelestarian alam sekitar dan masyarakat inklusif.

“Merancang pembangunan bandar dengan taman menghijau turut kita beri keutamaan kerana ini adalah untuk kesejahteraan penduduk dan kelestarian alam sekitar,” tegas beliau.

Abang Johari berkata, sekiranya semua rancangan yang Sarawak lakukan sekarang ini berjaya, negeri ini dapat membantu menangani perlepasan sifar karbon untuk Asean.

Menghasilkan tenaga diperbaharui adalah daripada tenaga hidro, solar, hydrogen dan biomass, katanya dan menegaskan, Sarawak boleh menghasilkan tenaga bersih kerana masih memiliki kawasan hutan yang luas, banyai air dan sungai dan tanah untuk menyimpan karbon.

Buat masa ini, katanya, Sarawak sedang bekerjasama dengan Bank Dunia untuk mengira kos perdagangan dan menilai harga karbon.

Sehubungan itu, Premier berharap Kerajaan Persekutuan dapat bekerjasama dengan Kerajaan Negeri mengenai perkongsian levi karbon kelak.