KUALA LUMPUR: Sarawak terus melangkah gagah menuju masa depan yang gemilang bukan sekadar membina bangunan dan jalan raya, tetapi membina jati diri, nilai kemanusiaan dan maruah rakyatnya.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2025, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kejayaan demi kejayaan yang dikecapi hari ini membuktikan keupayaan beliau memperkukuhkan kedudukan Sarawak.
“Sarawak bukan sekadar melakar pembangunan fizikal yang mampan dan utuh, tetapi turut membina maruah dan jati diri rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan di Majlis Makan Malam Anak Sarawak sempena LBAS 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, malam ini.
Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Penaung LBAS, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri Datin Amar Ruziah Mohd Tahir.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier serta menteri-menteri kabinet negeri dan Ahli- Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Nanta yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kepimpinan Abang Johari turut diumpamakan sebagai “kek lapis kemajuan” tersusun rapi, berlapis-lapis dan kaya dengan cita rasa mencerminkan pembangunan negeri yang seimbang antara inovasi, kemajuan sosial, ekonomi dan pemerkasaan masyarakat.
“Setiap lapisan pembangunan daripada infrastruktur, pendidikan, kesihatan, digitalisasi hingga komuniti merupakan bahagian penting yang digabung menjadi satu hidangan lengkap untuk rakyat Sarawak,” jelasnya.
Dalam konteks politik pula, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kestabilan dan perpaduan yang dinikmati Sarawak pimpinan GPS menjadi kunci pencapaian besar negeri itu.
“Kerana perpaduan jitu rakyat Sarawak pimpinan Kerajaan GPS, suara Sarawak kini menjadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Persekutuan dalam krisis politik negara pasca PRU ke-14 hingga ke-15.
“Kestabilan politik inilah yang memungkinkan kita menuntut hak-hak Sarawak dan membina ekonomi negeri yang lebih ampuh.
“Sehubungan itu, rakyat Sarawak perlu terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Abang Johari demi memastikan Sarawak terus maju, makmur dan bermaruah di pentas dunia,” katanya.
