KUCHING: Dalam usaha membina masa depan Sarawak yang maju dan lestari, UNIMAS tampil sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berperanan bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi juga menjadi pemangkin perubahan sosial dan pembangunan komuniti negeri ini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, UNIMAS membuktikan bahawa kejayaan akademik bukan hanya diukur melalui penerbitan dan penyelidikan, tetapi juga melalui impak nyata terhadap kesejahteraan rakyat serta kemajuan negeri.
“Sebagai rakan strategik kerajaan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), UNIMAS komited memperkasakan komuniti luar bandar, memperluas ekonomi digital dan memastikan kelestarian alam sekitar seiring agenda pembangunan Sarawak.
“Langkah terbaharu universiti itu ialah penubuhan Fakulti Undang-Undang yang menjadi mercu penting dalam melahirkan barisan profesional perundangan tempatan berpengetahuan dan berintegriti, sejajar dengan keperluan sistem tadbir urus negeri yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Konvokesyen Ke-29 UNIMAS bermula hari ini hingga 6 November depan di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, di sini, hari ini.
Selain itu katanya, penubuhan kursi penyelidikan sejarah Sarawak turut mengukuhkan peranan UNIMAS sebagai pusat rujukan utama dalam mendokumentasi dan memelihara warisan sejarah negeri agar kekal dihargai generasi akan datang.
Inisiatif berterusan ini mencerminkan komitmen UNIMAS untuk terus menjadi universiti berpaksikan masyarakat, menghargai sejarah dan berpandangan jauh ke hadapan — simbol kemajuan dan peradaban Sarawak menuju masa depan yang inklusif serta mampan, katanya lagi.
Seramai 4,100 graduan memperoleh ijazah masing-masing dalam pelbagai peringkat pengajian dari Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma Pascasiswazah Pendidikan.
Pada sidang pertama hari ini, 123 graduan menerima PhD.
