Sarawak perluaskan ekonomi hijau melalui pendidikan teknikal

KUCHING: Komitmen Sarawak menjadi peneraju dalam pembangunan teknologi hijau diterjemahkan melalui usaha memperluaskan program latihan ekonomi hijau oleh Sarawak Skills.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut.

“Ia juga bagi menyokong pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui yang sedang rancak dibangunkan di negeri ini.

“Sarawak kini berada di barisan hadapan dalam penghasilan dan pembangunan ekosistem hidrogen hijau di Malaysia, sejajar dengan aspirasi negeri untuk membina ekonomi yang mampan dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Konvokesyen Sarawak Skills ke-27 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari turut menekankan kepentingan penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem pembelajaran bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran dunia digital dan ekonomi masa depan.

Katanya, pendidikan dan pembangunan modal insan kekal menjadi keutamaan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 dalam usaha membentuk tenaga kerja berkemahiran tinggi, berinovasi dan berdaya cipta.

Beliau menambah, melalui strategi itu kerajaan negeri berhasrat memperluas peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi rakyat di seluruh Sarawak, sekali gus memastikan kemajuan yang seimbang dan lestari.