Kaedah salur bantuan pelajar menuntut IPTA dikaji – Premier

KOTA SAMARAHAN: Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk subjek STEM adalah antara 15 perkara utama yang dipersetujui dalam rundingan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Bahasa tersebut dibenar di sekolah rendah dan menengah.

“Penggunaan Bahasa Inggeris itu di bawah Program Dwi-Bahasa atau DLP bermula pada 2020 dengan kerjasama Universiti Cambridge dan Universiti Swinburne.

“Oleh kerana pendidikan adalah kunci kepada kejayaan untuk menghapuskan kemiskinan, semua anak muda perlu diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi tanpa kekangan, katanya pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Ke-29 di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Pro-Cancelor UNIMAS berkata, Kerajaan Sarawak akan menyediakan pendidikan tinggi percuma bermula tahun hadapan di empat universiti milik Kerajaan Sarawak.

Selain itu, beliau berkata, bantuan kewangan sebanyak RM15,000 setahun juga akan disalurkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Menurut Premier Sarawak, atas dasar memahami situasi yang dihadapi oleh pelajar yang merupakan anak jati Sarawak yang belajar di mana-mana IPTA/IPTS seperti UNIMAS, Kerajaan GPS menyediakan bantuan kewangan khas pelajar Sarawak sebanyak RM1,200 sebulan pada ketika ini.

Di samping itu, tambahnya, Kerajaan Sarawak juga telah memperkenalkan Skim Bantuan Sewa Kediaman (SRAS) bagi meringankan beban anak jati Sarawak yang tinggal menyewa sepanjang pengajian mereka.

Bantuan RM200 sebulan itu untuk pelajar IPTA/IPTS yang menyewa di bandar utama seperti Kuching, Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri, katanya.

Beliau berkata, sasaran Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 adalah jelas iaitu mencatat KDNK sekitar RM282 bilion dan pendapatan isi rumah menengah RM15,000 sebulan menjelang tahun 2030 disokong pertumbuhan purata 8 peratus setahun jika seluruh ekosistem bergerak seiring.

Tahun ini, tambahnya, kerajaan melalui Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC) memacu penyediaan Hala Tuju Sarawak AI dengan tujuan membina infrastruktur AI yang dipercayai, melindungi pemilikan data negeri dan melahirkan bakat AI tempatan.

Ekosistem digital yang berkembang turut mengangkat Sarawak sebagai destinasi pusat data hijau dan sistem pengkomputeran berprestasi tinggi dengan arus pelaburan yang turut digerakkan oleh strategi negeri untuk menjadi hab data pusat rantau.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS, Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie dan Naib Cancelor UNIMAS, Prof. Dr Ahmad Hata Rasit.