MIRI: Persidangan ke-38 Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK MALINDO) antara Sarawak dan Provinsi Kalimantan Barat (KALBAR) menjadi platform penting bagi memperkukuh kerjasama dua hala.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata, persidangan itu membincangkan pelbagai isu penting yang memerlukan tindakan bersama kedua-dua pihak.
“Fokus utama adalah aspek sosial, ekonomi serta keselamatan di kawasan sempadan,” katanya dalam pada majlis tersebut di sini, hari ini.
Tambah Dr Muhammad Abdullah, antara isu yang disentuh termasuk pengurusan pergerakan jenazah rentas sempadan, operasi Pos Lintas Batas Temajuk–Telok Melano, serta pembinaan Rumah Api oleh pihak Indonesia yang dikatakan melibatkan kawasan pentadbiran Sarawak.
Beliau turut mencadangkan agar Provinsi Kalimantan Utara (KALTARA) dan Kalimantan Timur (KALTIM) turut dilibatkan dalam persidangan akan datang bagi memperluas jaringan kerjasama dua hala di bawah SOSEK MALINDO.
Menurutnya, meneroka potensi baharu dalam bidang sosial dan ekonomi perlu diiringi dengan pengawasan keselamatan sempadan. Ini penting bagi memastikan setiap program sosioekonomi dapat dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat kedua-dua pihak.
“Kerjasama erat antara agensi keselamatan Malaysia dan Indonesia bukan sahaja memudahkan aktiviti ekonomi yang sah, malah mampu mengurangkan kehilangan hasil negara akibat jenayah rentas sempadan,” katanya.
Persidangan itu berlangsung di Miri dan dihadiri antara lain Residen Miri Galong Luang; Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah; Pengarah Majlis Keselamatan Negeri Hafizi Putit dan Pengarah Imigresen Sarawak Abdul Halim Abang Naili.
