Sarawak kongsi tenaga hijau dengan ASEAN

TOKYO: Sarawak terus komited menghasilkan tenaga boleh diperbaharui untuk memenuhi keperluan tenaga hijau di seluruh rantau ASEAN selain kegunaan pengguna domestik.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada Inisiatif Hijau ASEAN bagi membekalkan tenaga hijau kepada negara jiran dalam kalangan negara ASEAN.

Menurutnya, pada masa ini, Sarawak menjana 70 peratus tenaga hidro dan 30 peratus tenaga gas rendah karbon.

“Dengan gabungan ini, kami berharap dapat berkongsi “elektron” kami dengan negara jiran, malah dengan sokongan dan teknologi daripada Jepun, kami percaya dapat menyumbang kepada usaha menghijaukan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Sambutan 30 Tahun Jalinan Kerjasama antara Japanese Malaysia Association (JMA) dan Jabatan Hutan Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini.

Abang Johari menambah, Sarawak kini melaksanakan agenda strategik untuk menjadi ekonomi hijau, rendah karbon dan mampan.

Jelasnya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk Peraturan Aktiviti Karbon Hutan 2022, pemulihan landskap hutan seluas 200,000 hektar menjelang 2030, penanaman lebih 50 juta pokok di seluruh negeri serta pengukuhan kawasan perlindungan dan pemuliharaan biodiversiti.

“Kami percaya bahawa hutan Sarawak bukan sekadar aset ekonomi, tetapi merupakan amanah untuk generasi akan datang.

“Jadi, Jepun kekal sebagai rakan strategik yang amat bernilai dalam usaha ini khususnya melalui sokongan berterusan daripada JMA,” katanya lagi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Duta Besar Malaysia ke Jepun, Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Pengerusi JMA, Furuya Keiji, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad serta rombongan lain. – UKAS