KUCHING: Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 adalah antara lima RUU yang akan dibentangkana pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Ke-19, mulai 24 November hingga 3 Disember ini.
Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, empat lagi RUU yang dibentang ialah RUU Perbekalan (2026) 2025, RUU Perbekalan Tambahan (2025), 2025, RUU Bangunan (Pindaan) 2025 dan RUU Kelestarian Pengurusan Sumber dan Sisa Buangan 2025.
“RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 jika diluluskan akan membolehkan Kerajaan Negeri menambah komposisi jemaah Menteri dalam kabinet negeri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, kelulusan RUU itu yang akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hazmah memerlukan sokongan dua pertiga ADUN.
Sesi soal jawab pula katanya, akan diadakan selama empat hari dan perbahasan RUU Perbekalan (2026) dijadual berlangsung pada 26 November hingga 3 Disember, 2025, katanya.
Menurut Asfia, pada persidangan kali ini, DUN menerima sejumlah 341 soalan lisan dan bertulis daripada 40 ADUN dan daripada jumlah itu, 84 adalah soalan secara bertulis.
Terdahulu Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mempengerusikan Mesyuarat Prapersidangan DUN Sarawak. Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain.
Selepas itu, Abang Johari kemudian mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB.
Mesyuarat MT Parti PBB itu, banyak berkisar kepada kejayaan program yang dianjurkan oleh parti di seluruh negeri ini sepanjang 2025 dan merancang program untuk diadakan tahun depan.
Hadir sama Setiausaha Agung Parti PBB merangkap Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
