KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Srawak (GPS) hari ini membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah RM12.9 bilion untuk tahun 2026.
Premier Sarawak merangkap Menteri kewangan, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membentangkan belanjawan itu berkata, daripada jumlah itu sejumlah RM5.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.3 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Dengan hasil pendapatan diunjurkan berjumlah RM13.05 bilion dan perbelanjaan berjumlah RM12.91 bilion, Bajet Sarawak untuk tahun depan dijangka menjana lebihan RM144 juta, katanya semasa membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (Bajet) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau berkata, Bajet Sarawak 2026 bukan sekadar dokumen kewangan tetapi manifestasi jelas iltizam politik Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus memacu Sarawak ke arah kemakmuran yang lebih setara dan berkualiti.
Premier Sarawak menegaskan, setiap ringgit yang diperuntukkan mencerminkan keberanian kerajaan membuat keputusan strategik, keutamaan yang berpaksikan rakyat, serta kesungguhan untuk memastikan Sarawak mampu bersaing di pentas serantau dan global.
“Belanjawan bertema Memperkasa Rakyat, Memacu Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan ini memberi penekanan terhadap pertumbuhan ekonomi berpendapatan tinggi, kesejahteraan rakyat dan kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga hijau.
“Inilah belanjawan yang disandarkan pada prinsip kebertanggungjawaban dan visi jangka panjang untuk membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Dengan semangat keyakinan dan kesepaduan, saya menggesa seluruh Ahli Dewan, tanpa mengira perbezaan pandangan politik untuk bersama-sama menyokong belanjawan ini demi kepentingan Sarawak dan generasi masa depan,” tegas beliau.
Beliau berkata, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri wajib menunjukkan kepada rakyat bahawa kepimpinan negeri ini bersatu dalam matlamat membina Sarawak yang lebih maju, stabil dan progresif di bawah naungan kepimpinan yang utuh dan berpandangan jauh.
