Cadangan anggota kabinet ditambah mampu tingkatkan keberkesanan pentadbiran

KUCHING: Cadangan penambahan bilangan anggota dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dilihat mampu meningkatkan keberkesanan pentadbiran serta memberi tumpuan khusus kepada sektor pembangunan yang semakin meluas.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 merupakan langkah penting bagi menyesuaikan struktur pentadbiran dengan keperluan semasa.

“Komposisi MMKN ketika ini hanya merangkumi Premier dan 10 menteri seperti yang ditetapkan dalam Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri.

“Namun, pertambahan kawasan Dewan Undangan Negeri daripada 82 kepada 99 kerusi menjadikan struktur sedia ada tidak lagi sepadan dengan skala tugas kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Menurutnya, beberapa menteri pada masa ini memegang lebih daripada satu portfolio, menyebabkan beban kerja meningkat dan penyelarasan dasar menjadi lebih mencabar.

Justeru, beliau menjelaskan penambahan anggota MMKN adalah langkah yang munasabah bagi mengukuhkan kapasiti eksekutif negeri serta memastikan pengagihan portfolio lebih seimbang.

“Penstrukturan semula itu juga akan memastikan kerajaan dapat bertindak lebih cekap dalam memenuhi keperluan rakyat, selain meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan di pelbagai sektor,” katanya.