Pindaan RUU Perlembagaan Negeri buka lembaran baharu

KUCHING: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025 disifatkan sebagai langkah berani dan kritikal untuk memperkasa jentera pentadbiran negeri yang semakin kompleks.

Mohamad Duri (Kalaka-GPS) ketika membahaskan RUU tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19 hari ini, menegaskan pindaan itu bakal membuka lembaran baharu dalam sejarah pentadbiran negeri.

Menurutnya, keperluan menambah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bukan soal “mewahkan kabinet”, tetapi langkah strategik bagi memastikan pentadbiran kekal efisien dan berdaya saing.

“Dalam kata mudah, ini untuk memperkukuhkan jentera kerajaan negeri demi penyampaian lebih berkesan kepada rakyat,” katanya.

Sarawak ketika ini mempunyai 10 menteri penuh dan 26 timbalan menteri. Namun, katanya, angka itu tidak lagi relevan dengan skala pentadbiran moden, sehingga ada menteri terpaksa memegang dua portfolio penting serentak.

Beliau menegaskan fungsi timbalan menteri tidak pernah dipersoalkan, malah komitmen mereka sangat dihargai.

Namun, bagi memastikan fokus yang lebih tajam pada setiap portfolio, pertambahan menteri penuh dilihat sebagai keperluan semasa.

Mengulas konsep kepakaran dalam pentadbiran, Mohamad Duri mengumpamakan kabinet seperti sebuah hospital yang memerlukan pakar-pakar khusus untuk memastikan rawatan terbaik diberikan.

“Jika seorang doktor terpaksa mengurus terlalu banyak penyakit, ia tidak efisien. Begitu juga kabinet. Lebih ramai pakar, lebih khusus pembahagian tugas,” jelasnya.

Beliau turut menyenaraikan beberapa impak positif jika RUU itu diluluskan, antaranya kecekapan pentadbiran meningkat melalui pembahagian tugas lebih fokus, dasar lebih berkualiti kerana disokong pakar dalam bidang seperti ekonomi hijau, digital dan keselamatan makanan.

Selain itu pemantauan dan akauntabiliti lebih jelas dan penyampaian perkhidmatan awam lebih berkualiti kepada rakyat.

Dalam konteks kemajuan Sarawak menuju negeri maju, beliau menekankan keperluan kementerian khusus untuk bidang seperti teknologi digital, pembangunan wilayah, pertanian moden, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

“Ini bukan pembaziran. Ini pelaburan masa depan Sarawak,” tegasnya sambil menambah pentingnya tadbir urus kukuh serta KPI jelas bagi setiap menteri.

Beliau turut merujuk contoh di peringkat Persekutuan, di mana banyak portfolio besar dipecahkan untuk meningkatkan fokus, antaranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pengasingan portfolio Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan kementerian berkaitan tenaga dan teknologi.

Mengakhiri perbahasannya, Mohamad Duri optimis bahawa langkah Kerajaan Sarawak hari ini adalah tepat dan wajar demi memastikan pentadbiran terus maju seiring cabaran zaman.

“Saya percaya apa yang diusahakan Kerajaan Sarawak hari ini wajar, signifikan dan tepat pada masanya,” katanya.