Inisiatif kesihatan, peruntukan RM50 juta manfaatkan 100,000 warga emas

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meneruskan program bantuan kesihatan bersasar pada 2026 sebagai sebahagian agenda sosial negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antara inisiatif yang diteruskan ialah manfaat kesihatan warga emas.

“Rawatan pesakit luar tanpa tunai di klinik panel sehingga RM500 setahun bagi isi rumah berpendapatan RM7,000 ke bawah. Peruntukan RM50 juta dijangka memanfaatkan 100,000 warga emas.

“Bantuan Pampasan Kematian (Kenyalang Gold Card) RM1,800 diberikan bagi meringankan kos pengebumian, dengan peruntukan RM10 juta.

“Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang RM4 juta diperuntukkan untuk memastikan pesakit menerima rawatan dialisis tepat pada masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengumumkan Belanjawan Sarawak 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya lagi, kerajaan memperkukuh infrastruktur sokongan sosial melalui peruntukan bagi penubuhan.

“RM3 juta Pusat Komuniti Keperluan Khas, RM1 juta Pusat Sokongan Sosial Komuniti di Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Lawas dan Mukah, RM600,000 Pusat Perlindungan Sementara untuk komuniti berpendapatan rendah di Sibu dan Bintulu,” ujarnya.

Abang Johari berkata, bagi meningkatkan daya tahan ekonomi golongan rentan, kerajaan memperuntukkan RM2.6 juta untuk Program Pembangunan Wanita dan Keluarga.

“RM2.5 juta untuk Program Usahawan Mikro Kebajikan untuk 835 usahawan mikro B40 termasuk OKU, ibu tunggal dan balu. RM600,000 untuk Program Pemerkasaan Keluarga Berpendapatan Rendah. Dan RM600,000 untuk okongan kepada NGO bagi melaksanakan intervensi sosial komuniti.

“Kerajaan akan terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan setiap rakyat mendapat peluang untuk meningkatkan taraf hidup,” tegasnya.