KUCHING: Sarawak memerlukan kabinet yang lebih besar dan fleksibel untuk mengurus pentadbiran moden.
Dayang Noorazah Awang Sohor (Lingga-GPS) menegaskan struktur Kabinet Sarawak yang sedia ada, dengan had maksimum 10 menteri sebagaimana diperuntukkan dalam Artikel 6(3) Perlembagaan, sesuai pada zaman 1960-an, namun kini tidak lagi relevan dengan tanggungjawab pentadbiran dan ekonomi negeri yang semakin kompleks.
“Dengan bajet tahunan melebihi RM12 bilion serta pelbagai sektor baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, pembuatan berteknologi tinggi dan ekonomi digital, Sarawak memerlukan kapasiti eksekutif yang lebih besar dan fleksibel,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Dayang Noorazah turut menekankan bahawa Sarawak kini memiliki Dana Kekayaan Berdaulat sendiri dan mengawal sepenuhnya sumber tenaga negeri melalui PETROS, sekali gus memerlukan kepimpinan kabinet yang setanding dengan negara kecil dari segi skala dan kepakaran.
Beliau menegaskan, Kabinet Sarawak perlu mencerminkan skala sebenar negeri ini, bukan hanya sebuah daerah.
Pindaan ini katanya, membolehkan penambahan maksimum empat Menteri sahaja, dengan syarat mereka adalah wakil sah ADUN, tertakluk kepada undang-undang dan bertanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.
Ia juga dilengkapi dengan mekanisme pemantauan dan akauntabiliti penuh, termasuk kehilangan jawatan jika mereka tidak lagi menjadi wakil rakyat.
“Ini bukan soal menambah kuasa, tetapi memperluas kapasiti Sarawak untuk mengurus transformasi digital, tenaga hijau, pembangunan luar bandar dan kemajuan ekonomi global. Kabinet yang direka untuk semalam tidak mampu mentadbir Sarawak esok,” katanya.
RUU pindaan ini dijangka membuka jalan bagi Sarawak untuk meningkatkan keupayaan pentadbiran negeri selaras dengan statusnya sebagai rakan pengasas Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
