KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2025, membolehkan penambahan sehingga empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
RUU tersebut dibentang oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, selepas mendapat perbahasan daripada 23 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut Abdul Karim, pertambahan ahli MMKN adalah langkah wajar dan bersesuaian susulan cadangan pengembangan bilangan kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99.
‘’Inisiatif ini bukan sahaja sejajar dengan keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, malah dijangka meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta projek pembangunan negeri.
“Komposisi semasa MMKN terdiri daripada Premier dan 10 Menteri seperti diperuntukkan dalam Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sarawak.
“Namun, dengan peluasan kawasan pilihan raya dan peningkatan beban pentadbiran, struktur sedia ada dianggap tidak mencukupi,’’ katanya pada persidangan DUN Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, Ordinan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Penyusunan Ahli-Ahli) 2025 yang berkuat kuasa pada 8 Ogos lalu meningkatkan jumlah ahli DUN kepada 99, sekali gus menuntut penyesuaian pada peringkat eksekutif.
Beliau turut menekankan bahawa beberapa menteri ketika ini menggalas lebih daripada satu portfolio, meningkatkan tekanan kerja serta memerlukan koordinasi yang lebih teliti merentasi pelbagai sektor strategik.
“Dengan penambahan ahli MMKN, beban kerja dapat diagihkan dengan lebih seimbang, membolehkan setiap sektor diberi fokus khusus. Ini seterusnya membolehkan pelaksanaan dasar lebih berkesan dan perkhidmatan kepada rakyat dipertingkatkan,” kata Abdul Karim.
