Sarawak perkenal Lembaga Bangunan Baharu mantapkan industri pembinaan

KUCHING: Sarawak akan menubuhkan Lembaga Bangunan Sarawak (SBB) melalui Rang Undang-undang Bangunan (Pindaan) 2025 bagi memperkemas pengurusan dan meningkatkan profesionalisme industri pembinaan negeri.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, SBB akan menyelaraskan amalan pembinaan mengikut piawaian semasa serta memastikan keseragaman pelaksanaan di semua pihak berkuasa tempatan.

“Dana khas turut disediakan untuk menyokong penyelidikan, latihan, sistem digital, pensijilan profesional dan inisiatif bangunan hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU pada Persidangan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.

Menurut Dr Sim, struktur baharu ini menyokong matlamat PCDS 2030, terutama dalam pembangunan bandar pintar dan persekitaran binaan yang lebih tahan lasak.

Pindaan itu juga katanya, akan memperkukuh kawal selia terhadap arkitek, jurutera dan pemeriksa bertauliah serta memberi kuasa penguatkuasaan tambahan kepada pihak berkuasa tempatan.

“Setakat suku ketiga 2025, nilai kerja pembinaan siap di Sarawak mencecah RM4.9 bilion, dan SBB dijangka meningkatkan kecekapan serta memastikan pembangunan lebih mapan pada masa hadapan,” katanya.