Perjelaskan MA63 pada rakyat, agar nilai kepentingan difahami dengan tepat

KUALA LUMPUR: Kefahaman yang tepat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) penting supaya rakyat tidak tersalah tafsir dan memahami kepentingannya dalam konteks sejarah dan pembangunan.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, MA63 merupakan perjanjian hasil persefahaman antara Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah.

“Perjanjian ini menjadi asas hubungan antara negeri-negeri dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak penubuhan Malaysia,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2026 Peringkat Jawatankuasa di Parlimen.

Shafizan melahirkan rasa kecewa terhadap pihak tertentu yang memperlekehkan kepentingan MA63.

Dakwaan bahawa perjanjian itu “tidak berguna” dan wajar dibatalkan menurut beliau, boleh menjejaskan persepsi rakyat terhadap sejarah dan peranan sebenar perjanjian itu.

Beliau turut memetik kenyataan segelintir pihak yang menyarankan Sabah dan Sarawak keluar daripada Malaysia sekiranya tidak berpuas hati dengan MA63.

“Ia berisiko menimbulkan salah faham serta perpecahan dalam masyarakat. Penerangan yang jelas mengenai MA63 penting untuk mengekalkan persefahaman, kesatuan dan keharmonian negara.

“Rakyat perlu diberi gambaran sebenar tentang perjanjian ini agar nilai dan kepentingannya difahami dengan tepat,” katanya.