RUU Bangunan 2025 perkukuh piawaian hijau, perlukan mekanisme akauntabiliti jelas

KUCHING: Rang Undang-Undang Bangunan (Pindaan) 2025 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri bagi memodenkan Ordinan Bangunan Sarawak 1994, selaras dengan pembangunan pesat bandar pintar, tenaga boleh diperbaharui dan peluasan kawasan perbandaran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad berkata, pindaan ini menyokong agenda kelestarian negeri dengan sasaran sekurang-kurangnya 25 bangunan bersijil hijau menjelang 2030 serta mewajibkan ciri hijau dalam semua projek kerajaan baharu.

“Langkah ini bertujuan memastikan Sarawak kekal peneraju pembinaan mampan di rantau ini,” katanya pada Persidangan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.

Tambahnya, penubuhan Lembaga Bangunan Sarawak (SBB) di bawah RUU itu bertujuan mengakredit profesional, menetapkan piawaian bangunan hijau dan mengawal amalan industri bagi mengelakkan ‘greenwashing’.

Namun katanya, kebimbangan timbul mengenai kemungkinan pertindihan kuasa dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Bomba, serta keperluan mekanisme akauntabiliti yang jelas bagi kuasa kewangan SBB.

“Walaupun begitu, RUU ini dilihat penting untuk meningkatkan keselamatan, kecekapan tenaga dan nilai jangka panjang bangunan di Sarawak, selari dengan aspirasi PCDS 2030 dan menjadikan negeri lebih moden, mampan dan mesra pelabur,” katanya.