Pemuda Parti PBB tidak berdiam diri, gesa Zaid mohon maaf

KUCHING: Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan berdiam diri apabila hak dan keistimewaan Sarawak dicabar, susulan kenyataan tular Datuk Zaid Ibrahim yang disifatkan mengguris sensitiviti rakyat Sarawak.

Pergerakan Pemuda Parti PBB dalam kenyataannya berkata, Pemuda sentiasa terbuka terhadap pertukaran pandangan serta perbincangan konstruktif bagi menentukan hala tuju negara dan hubungan antara di Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, mereka menekankan bahawa keterbukaan itu tidak harus disalah tafsir sehingga membolehkan mana-mana pihak mempertikaikan
hak yang telah termaktub untuk Sarawak.

Sehubungan itu, Pemuda Parti PBB mendesak agar Zaid segera mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Sarawak dan Sabah bagi menjernihkan keadaan serta memelihara ketenteraman awam.

Merujuk kepada kenyataan oleh bekas Menteri Undang-undang Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini dalam klip video yang tular telah menyifatkan Sarawak dan Sabah sebagai “beban” dan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) harus dibatalkan.

Beliau dalam kenyataan balas kepada Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak,
Dato Fazzrudin Abdul Rahman, bukan sahaja enggan
mengakui bahawa beliau mungkin terkasar bahasa dalam memberikan pendapat dan menyinggung perasaan rakyat Sarawak dan Sabah, malah Zaid dengan angkuh menyatakan beliau berhak menyuarakan pendapat beliau tersebut.

Pemuda Parti PBB berpandangan bahawa MA63 merupakan dokumen tonggak kepada penubuhan negara Malaysia dan kandungan-kandungan perjanjian tersebut harus dipenuhi dan tidak perlu dipersoalkan lagi, katanya.

Retorik agar Sarawak dan Sabah diberikan “kemerdekaan” atau dalam bahasa mudah, dibuang begitu sahaja selepas 62 tahun dalam Persekutuan Malaysia ini satu pandangan yang ekstrim dan boleh dianggap sebagai hasutan.

“Kita menggesa agar pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia
Malaysia (SKMM) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga keharmonian
dan ketenteraman awam.

“Ini termasuk menjalankan siasatan ke atas individu-individu yang sengaja mengugat kedaulatan Sarawak tanpa mengira kedudukan dan pangkat mereka.

“Kita juga menggesa agar masyarakat umum lebih berhati-hati dalam komentar mereka berkenaan dengan hak-hak serta keistimewaaan Sarawak demi menjaga sensitiviti rakyat di negeri Bumi Kenyalang ini,” kata pergerakan itu lagi.