Wanita Parti PBB Bukit Sari santuni tiga ranting zon Punang

LAWAS: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) Cawangan Bukit Sari Lawas mengadakan program ceramah agama dan simbolik penyerahan sumbangan kerusi di Zon Punang Lawas.

Ketua Wanitanya, Auji Najian Garip memberitahu tiga ranting di zon Punang yang disantuni ialah Ranting Punang Lama, Ranting Punang Jaya dan Ranting Punang Baru.

“Lebih 100 wanita parti dan masyarakat sekitar menghadiri program yang berlangsung di Masjid Darul Iman Kampung Punang.

“Ini merupakan antara usaha Wanita Parti PBB Cawangan Bukit Sari untuk menyantuni dan mendekatkan lagi secara bersemuka antara Wanita PBB Cawangan N.82 Bukit Sari dengan wanita setiap zon atau ranting yang ada di Lawas, ” katanya selepas merasmikan program ceramah agama di Masjid Darul Iman Kampung Punang baru-baru ini.

Wanita Zon Punang turut memberi sumbangan kerusi kepada Masjid Darul Iman dan Surau Nurul Syakirin yang disampaikan oleh Ketua Wanita Puan Auji Najian Garip.

Jualan amal pakaian Prelove turut diadakan.

Auji Najian memberitahu program tersebut membantu untuk setiap Wanita Zon lebih aktif.

Beliau turut menghargai sokongan Pemaju Masyarakat Pembangunan Insan(KEMAS), Ustazah Siti Zainah Julkarnain menyampaikan ceramah agama.

Beliau berharap program ini menjadi platform berterusan untuk mengeratkan ukhwah dan memperkuat peranan wanita dalam pembangunan komuniti.