KUCHING: Sarawak boleh mengintegrasikan tenaga bio sebagai sumber tenaga bersih utama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, langkah ini sambil menjana elektrik juga mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.
Katanya ini sekali gus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong sasaran pengurangan karbon Malaysia.
“Ini mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju tenaga bersih di Asia Tenggara, memberi kesan besar kepada inisiatif alam sekitar di peringkat tempatan dan global,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 semasa Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Katanya loji tenaga bio boleh beroperasi sepanjang masa tanpa mengira keadaan cuaca luar tidak seperti tenaga boleh diperbaharui lain seperti solar dan angin serta ketersediaan sumber biojisim khususnya bahan buangan.
Azizul yang menyokong RUU itu juga menegaskan peningkatan sisa buangan domestik dan komersial kini menjadi isu global, dengan tapak pelupusan semakin tidak mampan.
Katanya, ini menyumbang kepada pelepasan gas metana dan pencemaran tanah, air serta udara.
