Sarawak berpotensi sebagai Sweden Asia

KUCHING: Sarawak berpotensi muncul sebagai “Sweden Asia” dalam pengurusan sumber lestari dan sisa jika seluruh ekosistem kerajaan, industri dan rakyat bergerak seiring melaksanakan pembaharuan.

ADUN Kalaka, Mohamad Duri berkata, dunia kini berada pada titik kritikal dan keupayaan mengurus sumber dengan cekap serta mengolah sisa menjadi nilai ekonomi adalah kunci kepada masa depan bumi yang selamat dan berdaya huni.

“Ini bukan angan-angan Mat Jenin. Hari ini, sisa boleh jadi ‘duit’. Biojisim saja mampu menyumbang sehingga 600 megaWatt, cukup untuk menjana elektrik kepada ratusan ribu rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025 yang dibentangkan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.

Mohamad Duri menegaskan bahawa Sarawak mempunyai sumber biojisim melimpah ruah, termasuk sisa pertanian seperti padi, kelapa sawit, tebu, jagung dan bahan buangan ladang lain, yang boleh ditukar kepada tenaga melalui biogas, pembakaran terkawal atau pelet biojisim.

Selain itu, sisa hutan yang diurus mampan serta kayu industri turut menawarkan potensi penjanaan tenaga jangka panjang, manakala sisa pepejal bandar pula dianggarkan mampu menjana 40 megaWatt.

“Sisa haiwan juga tidak boleh dipandang ringan. Industri penternakan mampu menyumbang sehingga 140 megaWatt tenaga melalui biogas,” jelasnya sambil menambah bahawa teknologi moden bukan sahaja menjana tenaga, tetapi turut mengurangkan bau, pencemaran dan risiko penyakit.

Mohamad Duri berkata beberapa negara seperti Sweden dan Jerman telah membuktikan bahawa sisa bukan lagi masalah sebaliknya peluang ekonomi yang besar.