Sarawak lulus RUU Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sumber Lestari dan Sisa 2025.

Kelulusan itu sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha negeri itu memperkukuh pentadbiran sumber serta pengurusan sisa secara sistematik.

RUU berkenaan menerima persetujuan penuh selepas 24 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan, menandakan komitmen jelas terhadap pendekatan pengurusan yang lebih moden dan berpaksikan kelestarian.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan undang-undang tersebut akan memantapkan keupayaan Sarawak mengurus sumber secara teratur sambil memaksimumkan potensi ekonomi kitaran yang semakin diberi perhatian di peringkat global.

“Dengan pemerkasaan kuasa melalui pewartaan RUU ini, Sarawak dapat merangka hala tuju baharu yang memberi tumpuan kepada penggunaan sumber secara bertanggungjawab serta pengurusan sisa yang lebih efisien,” katanya pada sesi pembentangan bacaan ketiga di DUN Ke-19 hari ini.

Beliau menambah, sebuah entiti khusus bakal ditubuhkan untuk menyelaras segala aspek pelaksanaan, termasuk pemantauan pematuhan peraturan, penyediaan insentif kepada pemain industri serta pengukuhan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta.

Menurut Uggah, meskipun Sarawak memiliki sumber semula jadi yang banyak, pemanfaatannya belum optimum akibat kekangan logistik dan peraturan sedia ada.

“RUU ini direka bagi menangani cabaran itu sekali gus memastikan setiap sumber diurus secara cekap dan lestari.

“Kelulusan RUU ini turut menyokong agenda pembangunan negeri di bawah Pelan Sarawak Lestari, Dasar Peralihan Tenaga serta Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS 2030), sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai negeri peneraju dalam pembangunan hijau dan pengurusan sumber mampan,” katanya.