KUCHING: Rundingan di antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan geran khas masih diteruskan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Kerajaan Pusat), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Beliau berkata, hasil rundingannya sangat baik dari segi sesi libat urus dengan perbicangan teknikal dan rundingan untuk mencari penyelesaian formula yang dicadangkan di bawah Artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai langkah awal, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan geran khas dari RM300 juta pada 2024 ke RM600 juta mulai 2025 untuk lima tahun akan datang, katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini.
Sambil mengucap terima kasih atas persetujuan itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus berunding untuk mendapat formula akhir yang adil, telus dan mencermin sumbangan Sarawak kepada negara melalui dialog, konsultasi dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Lidam dalam soalan llsan tambahannya bertanya, apakah usaha dilakukan Sarawak berkaitan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum diselesaikan.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak terus menganggap semua isu MA63 yang belum selesai sebagai sangat penting.
Pendekatan Kerajaan Sarawak, tambahnya, bersifat sistematik, bukan hanya fokus kepada setiap perkara pokok, tetapi juga bagi memastikan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan mengikut perlembagaan, membina dan mendatangkan hasil.
“Pasukan kita aktif dalam sesi rundingan, menggubal dasar dan perbincangan antara kerajaan bagi menjamin semua perkara yang masih tertangguh diselesaikan dengan baik,” tegas beliau.
Sharifah Hasidah memberitahu Dewan, terdapat dalam peruntukan Perlembagaan yang melayakkan Sabah untuk berkongsi 40% daripada hasil pendapatan tetapi tidak bagi Sarawak.
Sungguhpun peruntukan itu khusus untuk Sabah, beliau berkata, perkara asas mengenai keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu sanagt penting.
Perkara asasnya, Kerajaan Persekutuan mempunyai tugas perundangan untuk memenuhi tanggungjawab kewangannya kepada Sabah dan Sarawak.
