ADUN Kuala Rajang santuni pelajar SK Sarikei, SK Penghulu Adin

KUCHING: Seramai 66 murid dan 13 guru dari dua sekolah di Sarikei diraikan dalam majlis makan malam oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh di sini, malam ini.

Majlis tersebut diadakan sempena lawatan sambil belajar rombongan dari SK Sarikei seramai 36 murid dan enam guru dan SK Penghulu Adin (30 murid, tujuh guru).

Program ini bertujuan memberi pendedahan pengalaman lapangan kepada para pelajar di luar bilik darjah.

Dalam ucapan ringkasnya, Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang menggesa warga sekolah memberi sokongan padu terhadap usaha memperkasakan pendidikan TVET dan Inovasi Digital.

Beliau menegaskan bahawa lawatan seperti ini penting dalam memperluas pemikiran dan memberi inspirasi kepada pelajar.

“Pengalaman lapangan sebegini akan memberi pelajaran bermakna kepada mereka yang tidak dapat diperoleh di bilik darjah,” katanya.

Katanya, ini menunjukkan komitmen dan keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan serta masa depan generasi muda di kawasannya.