KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr Safiee Ahmad memohon agar pihak kementerian berkenaan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) memberikan pencerahan status Projek Perpindahan dan Pembinaan Semula Sekolah Kebangsaan (SK) Penasu, Daro.
Menurutnya, rojek tersebut yang dikategorikan projek sakit merupakan Projek Rakyat YAB Premier yang sepatutnya siap sepenuhnya pada 21 September 2025 setelah diberikan lanjutan masa kali ke-14 iaitu bersamaan 380 hari secara keseluruhannya.
“Ini sudah tentu membimbangkan rakyat, para guru, ibu bapa serta komuniti di sekitar kawasan tersebut kerana SK Penasu merupakan pusat pendidikan penting untuk anak-anak dari kampung-kampung dan rumah panjang di kawasan ini.
“Saya memohon agar pihak kementerian berkenaan khususnya pihak JKR selaku agensi pelaksana projek memberikan pencerahan status projek ini serta memaklumkan apakah langkahlangkah dan tindakan yang akan dilaksanakan bagi menyiapkan projek ini,” katanya.
Dr Safiee Ahmad menjelaskan, Kerajaan Sarawak komited membangunkan kawasan pesisir apabila meluluskan projek pentadbiran bersepadu (IAC) Daro di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), bertujuan menyediakan kemudahan pentadbiran moden dan lebih selesa kepada rakyat.
Katanya, kelulusan projek itu membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan perkhidmatan awam di kawasan pesisir dilaksanakan di fasiliti yang lebih teratur dan berpusat.
“Pada masa ini, banyak jabatan kerajaan terpaksa beroperasi di rumah kedai, rumah kediaman, kuarters dan berek akibat kekurangan bangunan pejabat yang sesuai, sekali gus menjejaskan keselesaan kakitangan serta menyukarkan urusan rakyat.
“Sehubungan itu, saya memohon agar kompleks IAC Daro yang akan dibina kelak dibangunkan sebagai bangunan bertingkat bagi memenuhi keperluan ruang pejabat secara menyeluruh, bukan sahaja untuk jabatan sedia ada, malah bagi agensi kerajaan baharu yang bakal dibuka,” katanya.
