KUCHING: Sarawak memperkukuh komitmennya dalam membangunkan ekosistem mobiliti rendah karbon menerusi pelaksanaan dasar menyeluruh.
Ini merangkumi penggunaan kenderaan elektrik (EV), kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) dan teknologi hibrid.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, penggunaan EV, FCEV dan hibrid ketika ini masih tertakluk kepada Dasar Automotif Nasional (DAN) yang menawarkan pengecualian duti eksais untuk kenderaan pemasangan lengkap (CBU).
Namun, jelasnya, insentif itu dijangka tamat pada penghujung 2025 bagi menggalakkan syarikat automotif membuka pusat pemasangan tempatan, selari dengan dasar kerajaan Persekutuan.
“Di peringkat negeri, Sarawak berada di barisan hadapan dalam agenda peralihan tenaga menerusi dua dasar utama — Sarawak Energy Transition Policy (SET-P) dan Sarawak Sustainability Blueprint (SSB).
“Kedua-dua dasar ini memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur seperti rangkaian pengecas EV, loji pengeluaran hidrogen dan stesen isian semula hidrogen bagi mempercepat penerimagunaan kenderaan rendah karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurutnya, sektor swasta turut memainkan peranan penting, dengan Sarawak Energy Berhad, SEDC Energy, Gentari dan beberapa Charge Point Operators (CPOs) menjadi peneraju dalam peluasan infrastruktur pengecasan dan hidrogen di negeri itu.
Bagi insentif kepada pengguna, Hazland menjelaskan bahawa pemilik EV kini menikmati pengecualian cukai jalan sejak 2022 hingga 31 Disember ini.
“Mulai 1 Januari 2026, struktur cukai jalan baharu akan diperkenalkan berdasarkan kuasa output kenderaan. Kadar baharu itu adalah 85 peratus lebih rendah berbanding kenderaan petrol — langkah strategik untuk menjadikan pemilikan EV lebih mampu milik serta menarik minat rakyat,” katanya.
