SINGAPURA: Kerajaan Sarawak menyambut baik hasrat Singapura untuk membuka Pejabat Konsulat di Kuching.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah lama menjalin hubungan dagangan yang baik dengan republik berkenaan.
“Perhubungan Singapura dengan Malaysia begitu erat, dan kita mempunyai perhubungan dagangan yang banyak juga di antara Sarawak dengan Singapura.
“Jadi saya mengalu-alukan hasrat ini,” ujarnya semasa sidang media bersama Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Turut hadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Dalam sidang media sempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura (ALR) Ke-12, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menyatakan hasrat untuk membuka Pejabat Konsulat di Kuching.
Abang Johari menambah, buat masa ini Sarawak mempunyai Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) dan dengan pembukaan Pejabat Konsulat Singapura di Kuching, ia akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Dalam pada itu, Anwar bersetuju dengan perkara tersebut termasuk hasrat untuk menubuhkan pejabat yang sama di Sabah yang akan mempereratkan lagi hubungan di antara dua negara.
Dalam sidang media sama, Anawar berkata ALR akan terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Singapura menerusi beberapa pesefahaman meliputi isu penerbangan, sempadan, kedaulatan negara serta kerjasama tenaga dengan Sarawak.
Jelasnya, rundingan mengenai laluan pesawat Singapura serta laluan dari Malaysia ke Sabah dan Sarawak telah mencapai persetujuan awal, tertakluk kepada syarat bahawa penerbangan dari Semenanjung ke negeri-negeri di Borneo diberikan akses yang lebih mudah dan bebas.
“Ini termasuk laluan pesawat untuk kegunaan Singapura dan juga laluan pesawat Malaysia atau dari Malaysia ke timur terutamanya ke Sabah dan Sarawak yang jauh lebih besar.
“Jadi kita bersetuju kalau maksud membantu menyelaras dan memudahkan perjalanan Singapura, kita juga kenakan syarat supaya laluan dijamin mudah dan bebas untuk penerbangan dari Malaysia atau Semenanjung ke Sabah Sarawak dan ke Timur,” ujarnya.
Selain itu, beliau menekankan bahawa Malaysia dan Singapura mempunyai kesepakatan yang kukuh dalam agenda peralihan tenaga serta import elektrik termasuk tenaga yang akan dibekalkan dari Sarawak.
“Telah ada muafakat berkaitan bidang ini. Kita hendak memastikan supaya Sarawak yang punya lebihan tenaga boleh mudah mengeksport dan kita boleh jamin supaya keperluan Semenanjung dipenuhi dan juga keperluan Singapura,” jelas beliau.
Terdahulu, Anwar dan Lawrence Wong serta pemimpin yang lain telah menyaksikan tiga pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu di antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kementerian Pengangkutan Singapura, Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura serta Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Singapura. – UKAS
