BINTULU: Sarawak kini mula membekalkan tenaga elektrik ke Sabah melalui Projek Sambungan Grid Utara, sekali gus merealisasikan pembentukan Grid Borneo.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pelaksanaan projek itu turut mengukuhkan rangkaian tenaga serantau dengan penglibatan pelaburan tenaga di Kalimantan, Indonesia.
“Dua hari lalu, kita telah memulakan pembekalan kuasa elektrik dari Sarawak Grid ke Sabah. Dengan ini, kita benar-benar menuju ke arah menjadi Borneo Grid, kerana selain Sabah, kita juga membekalkan tenaga ke Kalimantan Barat serta mempunyai pelaburan tenaga di Kalimantan Utara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bintulu Capital Sdn Bhd dan Press Metal Aluminium Sdn Bhd di sini hari ini.
Menurut Premier lagi, Sarawak turut memainkan peranan penting dalam pembangunan Grid Tenaga ASEAN, termasuk projek penyaluran elektrik ke Singapura melalui kabel dasar laut yang dijangka memulakan kerja pemasangan pada 2026.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, Sarawak kini menjadi tumpuan pelabur asing yang berminat membangunkan projek tenaga solar berskala besar di negeri itu.
“Salah satu pelabur dari Arab Saudi telah menyatakan minat dan kita dalam perbincangan. Seperti kita tahu, negara mereka sedang membangunkan Neom City yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya,” katanya.
Beliau menambah, kekuatan Sarawak dalam tenaga hijau membolehkan negeri itu bersaing di peringkat global, termasuk dalam industri berteknologi tinggi seperti pembuatan cip yang melibatkan syarikat gergasi seperti NVIDIA.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Dato Husain.
