Tengku Ampuan Pahang rasmikan Sense of Malaysia di LTAK

KUCHING: Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli merasmikan Sense of Malaysia Kuching di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.

Tunku Azizah ditemani puteri bongsunya, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah pada program tersebut yang merupakan salah satu dari aturcara sempena lawatan baginda berdua di Sarawak.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta isteri Datin Sri Zuraini Abdul Jabbar, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Sarawak (SPANS), Datu Dr Sabariah Putit, Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Pengurus Besar Centexs Commercial, Mohamad Shahren Mohamad Yusri serta tetamu jemputan lain.

Program itu turut menampilkan demonstrasi menghasilkan Kek Lapis Sarawak, Tenunan Songket, Pua Kumbu dan Sulaman Keringkam sebagai manifestasi kekayaan seni warisan negeri.

Sense of Malaysia, sebuah inisiatif Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), berperanan menyediakan platform strategik kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk kreatif kepada pengunjung antarabangsa.

Sementara itu, Tunku Azizah juga dijadual mengunjungi Juma’ani Pavilion sempena ulang tahun ketiga pusat inovasi fesyen dan tekstil tersebut esok.

Lawatan baginda turut merangkumi tinjauan ke pusat produksi, pertunjukan fesyen Juma’ani Collection by Pink Jambu serta penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Penjara Puncak Borneo, Tun Jugah Foundation (Olah Idup) dan Pink Jambu.

Kolaborasi ini dijangka memperkukuh pembangunan usahawan berasaskan warisan, selain membuka ruang latihan, penghasilan produk dan pengkomersialan yang lebih tersusun dalam industri tekstil Sarawak.

Lawatan diraja ini mengukuhkan aspirasi Sarawak menjadikan seni, warisan dan komuniti artisan sebagai pemacu ekonomi kreatif negeri, di samping memperluas rangkaian kolaborasi antara sektor kerajaan, industri dan komuniti bagi mengangkat identiti budaya tempatan ke peringkat global.