Bekas pelajar TLC 74/75 raikan ikatan 50 tahun

KUCHING: Suasana meriah dan penuh gelak tawa menyambut kedatangan bekas pelajar Tanjong Lobang College (TLC) Class of 1974/75 (kini Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri) yang berhimpun untuk meraikan ‘Reunion Emas 50 Tahun’ di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.

Pengerusi Penganjur, Kasim Gani, membuka majlis dengan ucapan yang mencuit hati bekas pelajar “Lima puluh tahun — sik berasa. Tengok muka semua orang yang hadir TL spirit masih hidup, walaupun rambut ada yang makin kurang,” katanya sambil disambut gelak santai rakan-rakan lama ketika berucap pada majlis tersebut.

Tema malam tersebut ‘Timeless Friendship’. Majlis berkenaan yang diadakan buat kali kedua selepas 2024 itu berjaya mempertemukan lebih 80 bekas pelajar kolej yang bukan sahaja datang dari Kuching, malah Sibu, Miri, Bintulu dan juga Kuala Lumpur.

Menurutnya, majlis itu bertujuan mempertemukan semula bekas pelajar kolej tahun tersebut kerana sejak meninggalkan kolej, mereka membawa haluan masing-masing.

“Jika tidak menganjurkan majlis seumpama ini, mungkin kita tidak mengenali antara satu sama lain sebab sudah lama terpisah.

“Alhamdulillah, mereka dapat dihubungi menerusi WhatsApp Group dikendalikan oleh saya dan rakan-rakan lain,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa perjumpaan semula 50 tahun itu bukan sekadar angka, tetapi lambang persahabatan yang tidak pernah pudar.

“Kita datang sini bukan nak kira umur, tapi nak rayakan kawan-kawan yang masih bersama kita,” katanya.

Satu segmen khas juga diadakan sebagai tanda ingatan dan penghormatan untuk mengenang rakan-rakan yang telah meninggal dunia serta tidak dapat hadir.

Acara kemudian dipenuhi cerita-cerita lama bekas pelajar dan dimeriahkan dengan cabutan bertuah dengan hadiah utama pakej percutian empat hari tiga malam ke Pulau Pinang untuk dua orang yang ditaja oleh salah seorang bekas pelajar kolej berkenaan.

Beliau turut memperkenalkan ahli jawatankuasa penganjur acara itu dan majlis kemudian diteruskan dengan sesi bergambar bagi mengukuhkan lagi memori 50 tahun mereka yang tidak ternilai.