BETONG: Proses tender projek naik taraf Jalan Ulu Rimbas bernilai RM25 juta akan dimulakan pada awal 2026, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Katanya, projek itu dijangka melancarkan pergerakan penduduk serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Proses tender akan bermula awal tahun depan dengan anggaran kos RM25 juta,” katanya pada Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Kaunter Perkhidmatan Bergerak DUN N.37 Bukit Saban di Rumah Rayong, Nanga Lop, Rimbas, Debak, semalam.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban turut meluluskan pembinaan sebuah jambatan di Nanga Lop bagi meningkatkan akses perhubungan dan kemudahan komuniti.
Beliau turut menggesa rakyat Ulu Rimbas terus memberi sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), sambil menegaskan komitmen berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan demi mencapai sasaran pendapatan isi rumah RM15,000 sebulan.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Puan Roseline Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh dan Ketua Pergerakan Wanita PBB DUN Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah.
