KUCHING: Pencahayaan Jalur Gemilang dipancarkan dari bangunan ikonik di sekitar bandar raya ini sehingga minggu sambutan Tahun Baharu 2026.
Antaranya Bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jambatan Satok, Jambatan Darul Hana, Musical Fountain serta beberapa bangunan ikonik lain.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman,berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen dan kesediaan Kuching selaku tuan rumah Majlis Pembukaan Sukan SEA 2027.
“Usaha ini dijangka dapat meningkatkan keterlihatan temasya di peringkat nasional, membangkitkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat, serta memupuk rasa bangga terhadap peranan negeri sebagai penganjur bersama temasya berprestij ini,” katanya.
Beliau berharap inisiatif ini juga menyemarakkan semangat perpaduan di samping memperkukuh imej Kuching yang bersedia menjadi tuan rumah penganjuran Sukan SEA 2027.
Tambah beliau, pelaksanaan ini turut menyahut seruan Kerajaan Sarawak serta Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MYSED) dalam menjayakan Sukan SEA 2027.
Selain Kuching, Sarawak, Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Pulau Pinang turut sama ‘bermandi’ cahaya dengan pancaran warna Jalur Gemilang sebagai tanda sokongan padu terhadap Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2027.
