KKDW bantu pemimpin Sarawak majukan luar bandar

SAMARAHAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan terus membantu pemimpin Sarawak membawa perubahan dan kemajuan di luar bandar negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia harus dilakukannya sebagai sahabat kepada Premier Sarawak.

“Sebagai kawan lama beliau ( Premier Sarawak) dan sahabat kepada menteri dan Timbalan Menteri di negeri ini, saya wajib membantu Sarawak untuk terus memacu perubahan di negeri ini dari segi kemajuan terutamanya di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Karnival Usahawan Desa (KUD), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zahid turut mengumumkan peruntukan
RM12. 6 juta membabitkan 8,188 penerima untuk program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan usahawan luar bandar di negeri ini.

Antara bantuan itu ialah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) 2024 kepada 39 penerima berjumlah RM6.53 juta menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), tambahnya.

Ini diikuti program Keusahawanan Sarawak 2024 dari Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah( RISDA) kepada 537 penerima berjumlah RM3.83 juta.

Selain itu, dana untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat, (KEMAS) Sarawak melalui Program Pembangunan Komuniti dan Kemahiran kepada 7,606 penerima berjumlah RM1.4 juta, katanya.

Zahid menjelaskan, Bahagian Usahawan Desa, KKDW turut menyalurkan pembiayaan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) kepada enam penerima berjumlah RM889,000.