Strategi pemerkasaan bantu usahawan Bumiputera kukuhkan perniagaan

SIMANGGANG: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Sri Aman berjaya menjana hasil jualan mencecah RM100,000 setahun hasil strategi pemerkasaan usahawan Bumiputera.

Ia melalui pemilikan dan penggunaan aset fizikal terbukti berkesan apabila inisiatif sewaan jentera dilaksanakan.

Pencapaian itu didedahkan semasa Sesi Libat Urus Jentera DUBS Holding Sdn Bhd Fasa Dua yang memberi tumpuan kepada penyelarasan operasi serta pengukuhan kerjasama strategik antara pengurusan peringkat negeri dan cawangan.

Pengerusi DUBS Cawangan Sri Aman, Abdillah Majid, berkata kejayaan itu merupakan hasil sokongan padu Kerajaan Sarawak pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang menyalurkan aset jentera seperti jengkaut bagi dimanfaatkan oleh usahawan Bumiputera di peringkat akar umbi.

Beliau menegaskan prestasi operasi yang dicapai ketika ini membuktikan inisiatif tersebut bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya satu pemangkin pendapatan mampan kepada ahli-ahli DUBS.

Bagi memastikan momentum kejayaan ini dapat diteruskan, Abdillah berkata, DUBS Sri Aman akan melaksanakan langkah proaktif termasuk memperkukuh latihan kompetensi bagi pemandu jentera, memperluaskan akses skim sewaan kepada lebih ramai ahli menjelang tahun ketiga operasi.

Sementara itu, wakil DUBS Holding Sdn Bhd, Abang Ishak Abang Ahmad, menekankan kepentingan tadbir urus yang telus dalam pengurusan sewaan jentera.

Dalam perkembangan berkaitan, Iskandar Sharkawi dari DUBS Holding memaklumkan bahawa selaras dengan keperluan industri semasa, siri kursus kompetensi dan sesi pengurusan mesin secara dalam talian akan dipergiatkan bermula tahun hadapan bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan kecekapan pengusaha jentera.

Turut hadir ialah wakil DUBS Holding, Sarbini Abang; Naib Pengerusi DUBS Sri Aman, Awangku Hafizi Awang Azahari; Setiausaha, Abdillah Ahmad; Bendahari, Chelsea Tari; serta ahli-ahli jawatankuasa lain.