LUNDU: Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N3 Tanjong Datu diminta bersedia menghadapi tahun 2026 yang lebih mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan berkata, ini kerana mereka sekarang di tahun terakhir sebelum diadakan Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN) Ke-13.
“Untuk itu, tahun hadapan adalah tahun yang mencabar untuk kita semua,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika program santai AJK Parti PBB Cawangan N3 Tanjong Datu dan meraikan ulang tahun ke empat beliau sebagai ADUN Tanjong Datu di Dewan Serbaguna Mahligai Gading Lundu di sini, semalam.
Beliau turut mengumumkan Timbalan Ketua Cawangan Parti PBB N3 Tanjong Datu, Abdul Razak Abdul Wahab sebagai Pengarah Operasi Bilik Gerakan N3 Tanjong Datu untuk PRN-13 nanti.
Program itu turut dihadiri Timbalan Ketua Cawangan, Abdul Razak Abdul Wahab, Naib Ketua Cawangan, Sintu Layang, Ketua Pergerakan Wanita, Fatimah Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda, Kaunselor Mohd Rhadzie Kassim.
