Tradisi rumah terbuka pupuk keharmonian, nilai kebersamaan

MUKAH: Tradisi kunjungan rumah terbuka Krismas merupakan antara amalan unik di Malaysia, khususnya di Sarawak yang melambangkan keharmonian masyarakat majmuk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, amalan ini bukan sekadar acara sosial, malah menjadi asas penting dalam memupuk keharmonian dan memperkukuh kepercayaan serta kebersamaan antara rakyat serta kerajaan.

“Kunjungan rumah terbuka ini mencerminkan nilai-nilai murni masyarakat Sarawak yang sentiasa hidup dalam semangat perpaduan,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Rumah Terbuka beliau di kediamannya di sini hari ini.

Melalui tradisi ini ujarnya, rakyat tanpa mengira kaum dan agama saling berkunjung untuk berkongsi kemeriahan perayaan sekali gus mengeratkan silaturahim.

Justeru, Royston berharap tradisi seperti ini akan terus dipelihara dan diperkasakan sebagai simbol kekuatan masyarakat Sarawak yang bersatu padu, aman dan saling menghormati, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri yang inklusif dan sejahtera.