KUCHING: Kira-kira 650 pesilat dan pegawai dari seluruh Sarawak termasuk dari Kalimantan, Indonesia memeriahkan Festival Jabat Sejagat 2025 yang diadakan di Sarawak Sports Village (SSV).
Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel merasmikan festival berkenaan, hari ini.
Beliau menyifatkannya sebagai platform penting dalam menyatukan perguruan persilatan serta memperkukuh nilai persaudaraan dan jati diri budaya Nusantara.
Katanya, konsep ‘Jabat’ yang melambangkan pertemuan dan kesediaan untuk saling memahami serta ‘Sejagat’ yang membawa makna keterbukaan tanpa sempadan menjadikan festival ini simbol penyatuan perguruan, bangsa dan wilayah berteraskan nilai adab, hormat dan kemanusiaan sejagat.
Seni silat dan seni bela diri tradisional yang dipersembahkan di festival ini bukan sekadar pertunjukan gerak atau kekuatan fizikal, tambah beliau.
“Ia adalah khazanah ilmu yang membentuk disiplin, akhlak, kebijaksanaan serta keseimbangan antara jasmani, emosi, intelek dan rohani.
“Inilah nilai-nilai yang telah membentuk peradaban masyarakat kita sejak dahulu, dan inilah nilai yang perlu terus diwariskan kepada generasi masa hadapan,” katanya.
Dalam konteks pembangunan semasa, Muhammad Abdullah menambah, seni persilatan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan insan dan masyarakat, khususnya dalam pembinaan sahsiah belia, kepimpinan akar umbi serta penyediaan saluran aktiviti sihat yang berteraskan budaya.
Jelasnya, penganjuran Festival Jabat Sejagat 2025 selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak di bawah kerangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 terutama dalam aspek pemerkasaan modal insan, pengukuhan identiti budaya, pembangunan ekonomi kreatif serta pelancongan berasaskan budaya dan komuniti.
Justeru, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Rumpun Silat Sarawak (RSS), rakan strategik, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat, para guru dan mahaguru persilatan serta seluruh warga kerja dan sukarelawan atas komitmen menjayakan festival berkenaan.
