Majlis Khatan Perdana SABERKAS Muara Tuang

KOTA SAMARAHAN: Seramai 50 kanak-kanak menyertai Majlis Khatan Perdana 2025 anjuran Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan DUN Muara Tuang dengan kerjasama Pegawai Perubatan Hospital Jantung Kota Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini, hari ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Idris Buang berkata, program ith bukan sahaja bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa, malah menjadi wadah memperkukuh ukhuwah serta nilai keberanian dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Muara Tuang yang juga isterinya, Datin Nurhidayah Hussain.

Idris yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Muara Tuang menyifatkan program seumpama ini sebagai satu kenangan bermakna buat para peserta, selain berharap ia dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan masyarakat setempat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Muara Tuang, Aziz Mohammad dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan program tersebut usaha berterusan SABERKAS mendekati masyarakat melalui aktiviti kebajikan dan kesihatan.