KUCHING: AirBorneo memulakan operasi rasminya pada hari ini dengan melancarkan dua penerbangan sulung dari Kuching ke Mukah dan Kuching ke Tanjung Manis sekali gus menandakan langkah baharu dalam pengangkutan udara Sarawak.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, pelancaran ini merupakan permulaan positif bagi AirBorneo dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
“Penerbangan pertama ke Mukah membawa 54 penumpang menggunakan pesawat ATR72-500, berlepas pada jam 8.25 pagi, manakala penerbangan ke Tanjung Manis membabitkan 15 penumpang dengan pesawat DHC6-400, berlepas pada jam 8.45 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Pelancaran Penerbangan Sulung AirBorneo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, AirBorneo dalam kenyataan menasihatkan pelanggan mengenai peralihan sistem pembelian tiket.
Tiket bagi perjalanan sebelum 14 Januari 2026 masih boleh dibeli melalui laman web MASwings, manakala tiket selepas tarikh itu perlu dibeli melalui laman web AirBorneo. Pelanggan juga boleh menghubungi pusat panggilan syarikat untuk mendapatkan maklumat lanjut.
