LAWAS: Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meningkat kepada 34 orang di Trusan, di sini, sehingga petang ini.
Seramai 21 orang dipindah ke PPS Dewan Masyarakat Trusan dan 13 orang lagi di PPS Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hwa Trusan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong menggesa penduduk di kawasan terjejas banjir agar mengutamakan keselamatan nyawa serta mengikut arahan agensi terlibat dalam operasi membantu mangsa.
“Kita mahu ketua kampung dan ketua masyarakat di kawasan terjejas banjir berhubung dengan bilik gerakan bencana daerah atau pegawai bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat ke dua PPS terbabit dan menyampaikan sumbangan segera dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) petang ini.
