Pesta Ambal Asajaya berpotensi sebagai produk pelancongan

ASAJAYA: Pesta Ambal Asajaya 2026 berpotensi diketengahkan sebagai produk pelancongan dan membawa pembangunan di sini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, produk pelancongan terbabit berteraskan budaya, alam semula jadi serta warisan makanan tradisional.

“Penganjuran pesta dari 3 hingga 4 Januari juga melengkapi usaha kerajaan negeri yang terus komited melaksanakan pelbagai projek pembangunan di Daerah Asajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penangguhan Pesta Ambal Asajaya 2026 di sini malam tadi.

Abdul Karim berkata, projek pembangunan itu merangkumi penambahbaikan infrastruktur asas, kemudahan awam, jaringan jalan raya serta inisiatif sosioekonomi.