MA63 dibincang dalam pertemuan TYT Sarawak, Jabatan Perdana Menteri

KUCHING: Pemerkasaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara utama dibincang semasa kunjungan hormat delegasi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Kunjungan diadakan di kediaman rasmi TYT Sarawak di sini menjadi pertemuan rasmi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam membincangkan hala tuju MA63. Ia sejajar dengan usaha berterusan memastikan hak dan kedudukan Sarawak terus dipelihara dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

Delegasi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) diketuai Menterinya, Datuk Ts. Mustapha Sakmud.

Selain itu, pertemuan itu turut menyentuh keperluan penyelarasan dasar antara kerajaan pusat dan negeri, khususnya bagi memastikan pelaksanaan agenda pembangunan dapat dilaksanakan secara terancang dan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Pertemuan lebih sejam itu turut memberi ruang kepada perkongsian mengenai peranan dan tanggungjawab serta pengalaman Tun Pehin Sri sepanjang berkhidmat dalam pelbagai jawatan di peringkat Persekutuan sebelum ini, yang menyumbang kepada pengukuhan hubungan dua hala.

Ia turut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam memantapkan pelaksanaan MA63 dan agenda pembangunan negeri pada masa hadapan.

Turut hadir Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato Ahmad Nazri Mohd Hassan serta barisan delegasi dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).