KUCHING: Tahun 2026 bakal menjadi titik peralihan kritikal bagi Sarawak apabila segala perancangan dan persediaan pembangunan yang telah dirangka sebelum ini perlu diterjemahkan kepada prestasi serta hasil sebenar di lapangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan bahawa kredibiliti pentadbiran negeri kini akan diukur berdasarkan keupayaan menyampaikan hasil yang nyata, memandangkan asas strategi, institusi dan mekanisme pembiayaan jangka panjang telah pun tersedia.
Berucap pada Majlis Amanat Perdana 2026 Yang Amat Berhormat Premier Sarawak – Sembilan Tahun Yang Gemilang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini, beliau berkata projek-projek yang telah sedia untuk dilaksanakan tidak boleh lagi terhalang oleh birokrasi yang tidak perlu.
Pada majlis tersebut, Abang Johari turut melancarkan ‘Buku Greening Transformation’.
Sebarang proses bertindih, sikap terlalu berhati-hati terhadap risiko atau ketidakjelasan kuasa mesti diselesaikan segera bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar.
Beliau turut menekankan bahawa setiap inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu mempunyai ‘pemilik’ atau agensi bertanggungjawab yang dikenal pasti dengan jelas bagi menjamin akauntabiliti serta penyampaian yang berkesan.
Dalam usaha mempercepatkan pembuatan keputusan, Abang Johari berkata penggunaan data dan alat digital perlu dimanfaatkan sepenuhnya, khususnya bagi pemantauan masa nyata supaya tindakan dapat diambil dengan lebih pantas dan tepat.
Menyentuh aspek tadbir urus, beliau menegaskan bahawa kejayaan pentadbiran hanya dapat diukur apabila ia memberi impak positif secara langsung kepada kehidupan rakyat.
Menurutnya, dasar atau pelan yang sekadar diumumkan tanpa pelaksanaan berkesan tidak lagi boleh diterima.
“Peranan perkhidmatan awam hari ini tidak lagi ditakrifkan oleh pematuhan semata-mata, tetapi oleh hasil yang disampaikan. Kelewatan dalam pelaksanaan membawa implikasi sebenar kepada rakyat hari ini dan generasi masa hadapan,” katanya.
Bagi memperkukuh keupayaan pentadbiran jangka panjang, Sarawak terus melabur dalam pembangunan modal insan melalui penubuhan Institut Kepimpinan bagi Perkhidmatan Awam Sarawak.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kepimpinan di semua peringkat, meningkatkan kecekapan tadbir urus serta memantapkan keupayaan pelaksanaan agensi kerajaan.
Walaupun mengakui kemajuan memberangsangkan telah dicapai, Abang Johari berkata cabaran seperti jurang pembangunan wilayah dan ketidakseimbangan hasil masih wujud.
Sehubungan itu, beliau menuntut disiplin serta tindakan susulan yang konsisten daripada semua pihak bagi memastikan aspirasi Sarawak maju dapat direalisasikan menjelang fasa pembangunan yang lebih mencabar.
