Infrastruktur moden kunci utama Sarawak setaraf dengan negara maju

KUCHING: Transformasi sebagai teras pembangunan Sarawak untuk kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, terutama dalam era teknologi dan ekonomi digital, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sejak 2011, beliau memulakan langkah drastik itu dengan mengubah pendekatan tadbir urus negeri daripada kaedah tradisional kepada digital.

Ini menurut beliau, merangkumi pengurusan, komunikasi dan perancangan pembangunan.

“Infrastruktur moden adalah syarat utama bagi meletakkan Sarawak setaraf dengan negara maju.

“Untuk menjadi negeri bertaraf dunia, kita perlu berani menukar cara kita mengurus dan membangun,” katanya semasa Townhall 9 Tahun Bersama Premier Sarawak di Hikmah Exchange, Jalan Haji Taha di sini, malam tadi.

Abang Johari menekankan bahawa penerimaan rakyat terhadap perubahan adalah kunci kejayaan, khususnya dalam transformasi ekonomi digital yang pada awalnya disambut dengan keraguan.

Beliau turut menekankan kepentingan kestabilan fiskal dan dana yang kukuh bagi memastikan rancangan pembangunan dapat direalisasikan dengan efektif.

‘’Selain itu, penubuhan dan pemerkasaan institusi strategik seperti bank pembangunan negeri dan PETROS dilihat sebagai mekanisme penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

‘’Institusi ini bertindak sebagai rangka sokongan bagi pelaksanaan rancangan jangka panjang negeri,’’ katanya.