282 permohonan kewarganegaraan anak penduduk Sarawak sejak 2024

KUCHING: Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) di bawah Perkara 15A Peringkat Sarawak yang bermesyuarat hari ini menerima 183 permohonan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, permohonan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan (JKKSK) Perkara 15A Peringkat Negeri Sarawak.

“Ini mengikut kategori iaitu anak tak sah taraf sebanyak 108 permohonan, anak jagaan sebanyak 70 permohonan dan anak angkat, lima permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat terbabit di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, ini menjadikan keseluruhannya sebanyak 282 permohonan itu telah dibentangkan dalam mesyuarat terbabit sejak 2024 hingga 2026.

“Pada tahun 2025, kita mengadakan sebanyak dua kali mesyuarat. Sebanyak 63 permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A telah dibentangkan,” tambahnya.

Beliau berkata, sebanyak 36 permohonan terbabit dibentangkan dalam dua mesyuarat itu pada 2024.