Pejabat Konsulat Singapura di Kuching beroperasi pertengahan 2026

KUCHING: Pejabat Konsulat Singapura di Kuching disasarkan beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon yang berkata, penubuhan tersebut bagi memperkukuh hubungan rakyat serta meningkatkan kerjasama ekonomi dan pelancongan antara kedua-dua negara.

Katanya, Kerajaan Malaysia memberi kelulusan kepada Singapura pada November tahun lalu untuk menubuhkan konsulat di Kuching dan Kota Kinabalu.

“Berikutan itu, saya memutuskan untuk melawat Malaysia, Sarawak dan Kota Kinabalu kemudian untuk melihat sendiri, bagi mengenal pasti beberapa lokasi berpotensi untuk menubuhkan konsulat.

“Kami akan melawat pelbagai tempat di Kuching serta Kota Kinabalu dalam beberapa hari akan datang untuk mendapatkan gambaran di mana kami boleh menempatkan konsulat itu, sekurang-kurangnya sebagai titik permulaan sementara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Menurut Vanu, selepas mengenal pasti tempat itu, pihaknya berharap dapat mendapat kelulusan daripada Kementerian Luar Malaysia dan menghantar wakil untuk menguruskan konsulat.

Mengulas lanjut, beliau berkata perdagangan antara Sarawak dan Singapura menunjukkan perkembangan positif, sekali gus memerlukan kehadiran wakil Singapura di lapangan bagi memudahkan kerjasama ekonomi yang lebih erat.

Beliau yakin kehadiran konsulat Singapura di Kuching kelak akan memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan aliran pelawat dan interaksi antara rakyat kedua-dua negara.

Turut hadir semasa kunjungan hormat ini ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia Dato Fenny Nuli, Kaunselor Politik Singapura Charlene Chan dan Setiausaha Politik Valerie Lim.