KUCHING: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak memerlukan peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta daripada RM500,000 sekarang, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pada mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras PEMADAN Negeri itu sebulat suara mencadangkan peningkatan peruntukan tahunan itu kepada RM1 juta.
Dengan bertambahnya peruntukan itu akan membolehkan PEMADAN menjalankan program pencegahan secara lebih menyeluruh, katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras PEMADAM Negeri Sarawak di sini hari ini.
Cadangan ini akan dibawa ke peringkat kabinet negeri untuk pertimbangan selanjutnya, katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak turut menyambut baik cadangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) untuk mengetatkan data pengirim bagi setiap penghantaran bungkusan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak.
Ini, katanya, sebagai langkah memperkukuh siasatan serta mengekang penyeludupan dadah ke negeri ini.
Kelemahan data pengirim termasuk penggunaan alamat dan maklumat palsu sering menjejaskan proses penyiasatan serta menyukarkan pihak berkuasa mengaitkan penghantar sebenar dengan penerima bungkusan yang mengandungi dadah, tambah beliau.
Tegasnya, data pengirim yang tidak lengkap atau tidak tepat akan menyukarkan siasatan dan akhirnya menjejaskan pendakwaan di mahkamah.
PEMADAM Negeri Sarawak, kata Abdul Karim turut menyokong penuh cadangan Kastam agar setiap penghantaran bungkusan diwajibkan menggunakan data pengirim yang sah dan terkini berdasarkan pengenalan diri.
Beliau menegaskan tahap masalah dadah di Sarawak masih terkawal dan antara yang terendah di Malaysia, namun usaha pencegahan perlu diperkukuh secara berterusan bagi memastikan dadah terus ditolak oleh masyarakat.
Sepanjang tahun 2025, PEMADAM Sarawak katanya telah melaksanakan sebanyak 92 program kesedaran di seluruh negeri dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM, JKDM, Jabatan Pendidikan, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) meskipun berdepan kekangan peruntukan kewangan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi PEMADAM Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
