Kebersamaan masyarakat majmuk di Sarawak masih subur

MATU: Inisiatif Sekolah SJK Chung Hua, Matu dengan menganjurkan Majlis Tadarus Al-Quran membuktikan bahawa keharmonian dan kebersamaan masih lagi subur dalam masyarakat majmuk di Sarawak.

Ahli Palimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, beliau bangga apabila ada sekolah SJK seperti ini menganjurkan majlis Tadarus Al-Quran secara besar-besaran dan mendapat kerjasama daripada warga sekolah termasuk ibu bapa dan guru yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama berbeza.

Justeru, beliau mahu majlis seperti ini diteruskan kerana memberi banyak manfaat kepada orang ramai dan komuniti sekitarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Tadarus Al-Quran Peringkat Sekolah SJK Chung Hua Matu 2024 di sini.

Ahmad Johnie berkata, pembelajaran Al-Quran memerlukan guru supaya tidak berlaku sebarang kesilapan dalam pembacaan.

Selain itu, ilmu Al-Quran juga merupakan pendidikan yang berterusan merangkumi semua ilmu berkaitan kehidupan, menurut beliau.

Seramai 22 pelajar diketuai Ustaz Zulhelmi Borhan yang merupakan Ketua Panitia Pendidikan Islam SJK Chung Hua Matu menaiki motosikal berhias (Tandu) dengan disertai Ahmad Johnie mengelilingi Pekan Matu.

Majlis itu juga menandakan berakhirnya sesi persekolahan 2023 dan sesi pengajian dan pembelajaran kelas KAFA sesi 2023.